Bicara: Hukum hudud Kelantan, Terengganu mengelirukan
Oleh Ziauddin Sharuddin
SEKSYEN 16 dan 14 dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Terengganu dan Kelantan, menimbulkan kontroversi apabila dikatakan membenarkan suami melakukan perbuatan liwat terhadap isteri. Kedua-dua seksyen itu berbunyi: Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii, iaitu melalui dubur. Tiga patah perkataan yang membawa kepada kontroversi itu ialah `selain daripada isterinya’. Wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN menemu bual pakar undang-undang jenayah Islam, Dr Nasimah Hussin, yang juga Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk mengupas latar belakang dan huraian mengenai kontroversi itu.
APAKAH fakta sebenar mengenai Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan Terengganu yang dikatakan membenarkan suami meliwat isteri?
Saya rasa berlaku salah faham berhubung perkara ini. Kedua-dua seksyen itu sebenarnya membincangkan mengenai hudud, bukan takzir. Yang dimaksudkan dalam seksyen itu ialah mengenai kesalahan yang boleh dikenakan hukuman hudud, bukan mengikut hukuman takzir.
Antara kesalahan yang dikenakan hudud ialah perbuatan liwat, tetapi hanya mereka yang melakukan persetubuhan melalui dubur `selain daripada isterinya’ dikenakan hukuman hudud, iaitu hukuman maksimum. Ada satu hukuman lagi, iaitu mengikut takzir. Kalau dia buat (suami terhadap isteri), hukuman dijatuhkan mengikut takzir. Ini tidak bermaksud benda ini (liwat) tidak haram. Ia tetap haram tetapi suami yang meliwat isteri tidak dihukum mengikut hudud, tetapi mengikut takzir. Maksudnya perbuatan suami itu tidak terlepas, cuma tidak dikenakan hukuman maksimum kerana di sini ada doubt (keraguan), tidak kena hukuman maksimum mengikut hudud tidak bermakna terlepas dari hukuman takzir.
Mengikut enakmen ini, hukuman mengikut hudud ialah jika muhsan atau yang telah berkahwin, rejam hingga mati dan jika belum berkahwin, 100 kali sebatan. Hukuman mengikut takzir pula tertakluk kepada budi bicara hakim.
Orang biasa mungkin tidak faham mengenai perkara ini, tetapi mereka yang terbabit secara langsung dalam undang-undang jenayah Islam dapat memahami apabila membaca seksyen itu. Ia tidak bermaksud terlepas. Tidak bermakna `selain daripada isterinya’ liwat boleh dilakukan.
Adakah kedua-dua seksyen itu sendiri yang menimbulkan salah faham?
Memang akan berlaku salah faham kerana undang-undang hudud Kelantan dan Terengganu adalah untuk mereka yang tahu dan pakar dalam bidang itu. Pada masa sama, sepatutnya mereka (pihak yang menyediakan enakmen) sepatutnya explain (menerangkan) atau ada bahagian explanation (huraian, kekecualian dan misalan) yang biasa ada dalam Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen tertentu dalam Kanun Keseksaan mempunyai huraian yang menerangkan lebih lanjut mengenai seksyen itu dan menjadikannya tidak tergantung. Inilah yang menyebabkan berlaku salah faham. Ia perlu diperjelaskan sikit. Kanun Keseksaan pun macam itu juga, tetapi di bawah itu, setiap seksyen yang menimbulkan pertanyaan, ada contoh. Huraian menerangkan apa yang dimaksudkan dalam seksyen itu. Undang-undang hudud sepatutnya ada unsur itu. Maksudnya `selain daripada isterinya’ kena ada huraian.
Adakah ini bermakna enakmen itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa?
Saya berpendapat okay saja, cuma enakmen itu tidak memenuhi standard. Sepatutnya enakmen itu perlu rujuk kepada Kanun Keseksaan. Undang-undang ini (enakmen) masih bersifat klasik dan tidak moden. Ia tidak menggunakan pembaharuan dan sepatutnya dimodenkan sikit. Jangan guna cara yang dulu-dulu lagi supaya lebih ramai orang boleh faham yang sekarang ini kebanyakan merujuk kepada Kanun Keseksaan atau akta lain. Jadi perlu memenuhi standard.
Bagaimana kedua-dua enakmen itu boleh mencapai standard seperti Kanun Keseksaan?
Ini memerlukan lebih banyak penyelidikan dan pemerhatian kepada pelbagai akta yang ada. Begitu juga dengan melihat negara Islam lain yang telah melaksanakan undang-undang jenayah Islam seperti Nigeria, Sudan dan Pakistan. Undang-undang di Nigeria adalah lebih kurang sama seperti Kanun Keseksaan di negara kita. Maksudnya cara undang-undang itu dipersembahkan dalam bentuk moden.
Berdasarkan kajian terhadap kedua-dua enakmen itu, mungkin ada peruntukan yang menimbulkan kekeliruan
Banyak yang menimbulkan kekeliruan. Saya sudah tahu dan menjangka enakmen itu akan menimbulkan kontroversi. Sebagai contoh Seksyen 9 (Qazaf) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Trengganu, iaitu seorang perempuan yang mendakwa dirogol oleh seorang lelaki tanpa mempunyai saksi atau keterangan yang diperlukan oleh syarak untuk menyokong dakwaan itu akan dikenakan hukuman Qazaf.
Seksyen ini memang sejak awal lagi dijangka menimbulkan kontroversi walaupun orang yang pakar undang-undang jenayah Islam memahaminya. Yang dimaksudkan oleh seksyen ini bukan mesti ada empat orang saksi. Yang mangsa perlukan ialah hanya sedikit bukti bahawa dia dirogol. Apa saja bukti yang boleh menyokong.
Saya pergi sebagai pemerhati ketika rang enakmen itu dicadangkan di Terengganu tahun lalu. Kita sudah mengkaji seksyen ini dan membincangkannya dengan mereka, bahawa perkara ini sepatutnya dibatalkan dan tidak dimasukkan kerana ia akan menimbulkan kontroversi. Orang yang pakar memang faham, tetapi ia akan menimbulkan kontroversi dan ini membawa kepada lebih keburukan. Lebih baik kita buang terus dan apabila timbul kes, maksudnya kita boleh rujuk balik. Tetapi tiada sambutan dan seksyen itu dikekalkan.
Apa peruntukan lain yang menimbulkan kontroversi?
Antaranya ialah Seksyen 21 mengenai Sariqah (curi), iaitu ada hukuman yang tidak dikenakan bagi kesalahan mencuri. Contohnya jika nilai barangan yang dicuri kurang daripada nisab, maka tidak dikenakan hukuman hudud. Jadi orang mungkin kata, ini bermakna boleh mencuri kalau sikit. Semua ini menimbulkan kontroversi dan kekeliruan.
Adakah ini bermakna bahawa kedua-dua enakmen itu perlu diperkemaskan?
Memang benar ia perlu diperkemaskan supaya lebih sesuai dengan zaman sekarang dan keadaan negara kita. Kesalahan tetap kesalahan, cuma dari segi persembahan perlu dibuat mengikut perkembangan semasa.
Di Nigeria, undang-undang hudud menghadapi masalah kerana dibuat secara tergesa-gesa?
Pastikan undang-undang itu dibuat dengan kemas. Maksudnya, undang-undang yang tidak kemas apabila dilaksanakan, baru tahu ada lubang sana-sini. Apabila dilaksanakan, baru tahu ada yang tidak selesai, macam mana hendak buat. Apabila kes lain sampai, yang ini macam mana hendak buat, maksudnya tidak selesai dengan enakmen itu, banyak lagi kena ubah. Maksudnya enakmen itu bergantung kepada perubahan, asyik berubah, tetapi sekurang-kurangnya ada pendekatan hendak melakukan perubahan.
Apalah pendekatan terbaik melaksanakan undang-undang jenayah Islam?
Undang-undang itu perlu dilaksanakan dalam keadaan yang dapat diterima oleh Perlembagaan. Contohnya, Islamkan mana-mana yang ada dalam Kanun Keseksaan, cuma tukarkan hukuman saja. Kita perlu pinda Kanun Keseksaan seperti hukuman mencuri yang kini boleh dipenjara hingga tujuh tahun atau denda, manakala kesalahan berikut boleh dikenakan sebatan. Kita boleh tukar hukumannya dengan menulis seperti hukumannya penjara dan orang yang mengulangi kesalahan sama boleh dikenakan hukuman potong tangan.
Kita Islamkan Kanun Keseksaan dan akta lain. Ini lebih baik dan diterima kerana undang-undangnya sudah ada. Ia juga tidak bertentangan dengan undang-undang hudud sebab hudud adalah hukuman maksimum. Kita letakkan hukuman maksimum dan tidak perlu ada undang-undang hudud khusus.
Bagaimanapun hukuman maksimum seperti potong tangan tidak semesti dapat dilaksanakan. Maknanya hukuman yang biasa dijatuhkan mengikut undang-undang jenayah Islam ialah penjara dan hanya jika dibuat berulang-ulang serta memenuhi syarat, barulah dikenakan hukuman potong tangan.
Dalam kes pembunuhan, Seksyen 302 Kanun Keseksaan menyatakan hukumannya ialah mandatori hukum mati, tetapi dalam Islam ia tidak mandatori, lebih ringan. Kalau hendak Islamkan, aspek Qisas turut dimasukkan, iaitu tertakluk kepada budi bicara keluarga mangsa. Kalau keluarga mangsa hendak kurangkan, tiadalah hukuman mati. Ini bermakna hukum Islam lebih lembut. Yang keras hanya hudud, manakala qisas dan takzir lebih ringan berbanding hukuman sivil.
MengIslamkan undang-undang sedia ada lebih mudah berbanding hendak membuat yang baru. Ini adalah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Saya rasa cara ini lebih diterima dengan mudah oleh masyarakat sebab undang-undang itu sudah ada dan orang sudah biasa. Cuma hukumannya perlu diubah dari segi had maksimum.
Apa pandangan Dr bahawa sebenarnya banyak aspek undang-undang negara ini memenuhi tuntutan Islam?
Ia adalah proses yang sedang berlaku, bertambah baik dari dulu hingga sekarang. Cuma undang-undang jenayah Islam yang masih tertinggal. Selain itu, memang boleh diterima. Kita berbilang kaum masalahnya, malah orang Islam sendiri menyalah tafsir bahawa undang-undang jenayah Islam tidak sesuai dilaksanakan sebab lebih keras.
Sebenarnya tidak keras. Yang nampak keras cuma hukuman zina, itupun yang membabitkan hukuman mati. Hukuman sebat bagi kesalahan zina lebih ringan sebab tidak akan sampai begini (menunjukkan muka depan Metro Ahad keluaran 10 Ogos lalu - gambar punggung disebat). Ini salah (merujuk gambar itu), dalam undang-undang jenayah Islam, memang tidak boleh sampai berdarah, tertarik kulit, angkat tangan tidak boleh melebihi kepala, saiz rotan sederhana. Hukuman sebatan tidak menyebabkan cedera parah.
Cuma yang ditakutkan ialah hukuman mati untuk perbuatan zina dan hukuman potong tangan bagi mencuri. Kesalahan rompakan tidak hingga dikenakan hukuman mati. Cuma dua kesalahan itu dikenakan hukuman berat, tetapi syarat untuk menjatuhkan hukuman berat bagi zina dan curi sangat ketat, Kalau mencuri, macam-macam syarat ada seperti syarat harta dan syarat orang untuk sampai kepada hukuman maksimum. Kalau tidak cukup di mana-mana suarat, turun kepada takzir. Nampak keras tetapi sebenarnya itu adalah hukuman maksimum.
****************************************************
+ Aku berpendapat yang artikel kat atas ni bagus cuma tak cukup penerangan serta publisiti tentang perbezaan hukum hudud dan takzir. Cuma soalan2 yang diutarakan tu lebih cenderung utk menghentam dari mencari penyelesaian tentang isu ini.
+ Enakmen tidak memenuhi standard? Masih bersifat klasik dan tidak moden? Mungkin Dr ni cuba nak samakan dengan huraian sebagaimana dlm undang2 konvensional. Aku bersetuju tentang adanya huraian tapi tak semestinya bersifat klasik dan tidak moden itu boleh mencacatkan undang2 tersebut. Aku rasa semua orang yang terlibat dalam penggubalan hukum hudud ni semua faham tentang enakmen tersebut. Dan semestinya orang yang hendak melaksanakannya juga dah faham. Tapi untuk buat orang ramai faham tu aku musykil sikit almaklumlah kita ni selalu guna logik akal, tersalah tafsir boleh sesat woo! Kena juga berguru dlm mencari ilmu. Lagipun Dr ni pun sendiri kata, "Orang biasa mungkin tidak faham mengenai perkara ini, tetapi mereka yang terbabit secara langsung dalam undang-undang jenayah Islam dapat memahami apabila membaca seksyen itu". Aku kata, jangankan hudud, baca buku law biasa2 tu pun kita dah terjojol mata susah nak faham.
+ Anyway benda yg dah lama ditinggalkan dan baru nak dilaksanakan semula mestilah banyak kelemahan especially bila yang nak laksanakan tu kita manusia yang banyak kelemahan.Manusia memang fobia bila dengar sesuatu yg baru, cepat melatah. Tapi tak bermakna kita tak boleh nak laksanakan langsung. Cuma kita kena cuba yang terbaik. Lagipun yg gubal undang2 ni pun bukan calang2 orang, antaranya Allahyarham Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, Tun Salleh Abbas, Prof Dr Mahmood Saedon Awang Othman, Dr Abdullah Abu Bakar, penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Kerajaan negeri, Ketua Hakim Syarie Kelantan dll. Tu tak campur lagi dengan pemerhati2 bebas cam Dr ni. Kalau tak yakin lagi tak tahulah nak kata apa.
+ Lagi satu, masalah media kat m'sia ni kalau nak perbesarkan isu yang berkaitan dengan agama mesti ambik pendapat orang tepi jalan yang tak faham. Dah lah tak faham pastu memandai2 jer nak keluar fatwa cakap tu tak betul ni tak betul, tak pasal2 dorang tu dapat dosa. Lebih sudu dari kuah. Lebih politik dari agama. Utk yang perangai seperti 'ayam jantan berkokok tapi ekor bergelumang najis' tu aku cadangkan supaya tutup mulut, jangan cakap benda yang dia sendiri pun jahil. Nanti ada pulak orang salah faham ingat Islam benarkan lelaki liwat isteri sudahlah, tak pasal2 kau kena tanggung dosa orang lain sekali.
+ Sebenarnya sabtu lepas aku balik melaka coz makcik aku buat kenduri aqiqah utk anak dia. Kebetulan sebelum kenduri masa tengah tunggu tok imam ada pulak sorang pakcik ni bukak topik pasal liwat kat atas tu. Cakap dia berapi2 mengalahkan tok guru agama almaklumlah dia ni kira berpengaruh serta menyerlah 'biru pekat'. Cuma aku kesian kat dia sebab dahlah dia ni tak faham isu sebenar serta perbezaan hukum hudud dan takzir pastu buat orang lain yg tukang angguk lagi confuse. Dalil yang dia guna pun tak releven, tangkap muat ajer. Mungkin dia banyak sangat tengok
+ artikel tambahan :
Hudud benar-benar bela golongan wanita - penggubal
Syaitan bisu: PM tidak faham ucapan saya - Abdul Hadi
Liwat: PAS sedia beri penjelasan


No comments:
Post a Comment